Monday, August 11, 2014

Juadah Syawal: Nasi Pilaf / Pilau / Pulao

Rasanya belum terlambat lagi saya nak mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kawan-kawan semua..Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dari saya sekeluarga.

Raya kami di Dakar tahun ni disambut secara sederhana sahaja. Untuk jamuan raya di rumah kami tahun ini , saya masak Nasi Pilaf, Roti Jala dan Spaghetti Carbonara.

Dulu masa di Bahrain, saya selalu makan Nasi Pilaf ini, tapi tak pernah pun terfikir nak masak sendiri. Mungkin sebab selalu dapat. Ada je yang rajin nak masakkan.

Nasi Pilaf juga dikenali sebagai Nasi Pilau ataupun Nasi Pulao. Jom kita tengok resepi!

Resepi asal saya dapat daripada Iza Akma Singgahsana Kitchen. Resepi asal menggunakan 2 kilo beras. Namun saya buat sedikit pengubahsuaian mengikut teknik menyukat yang biasa saya gunakan di rumah iaitu dengan menggunakan cawan beras.

Untuk sukatan air pula, saya gunakan teknik yang saya belajar daripada kawan-kawan di Bahrain dahulu. Satu cawan beras akan dimasak dengan satu setengah cawan air. Cawan yang saya gunakan adalah cawan yang sama untuk memasak Kuih Seri Muka.


Nasi Pilaf / Nasi Pilau / Nasi Pulao

Bahan-bahan

5 cawan beras basmathi dicuci bersih dan direndam selama 1/2 jam
1/2 ketul butter
1 batang kulit kayu manis
3 biji bunga lawang
4 biji bunga cengkih
3 helai daun pandan, disiat dan disimpul
1 biji bawang besar dicincang halus
Air secukupnya
Sedikit garam
Safron ( kalau tak ada pun tak apa, safron hanya untuk warna kuning sahaja )
Segenggam daun ketumbar
Segenggam daun pudina
Segenggam bawang goreng
Segenggam kismis kuning (kali ini saya tak gunakan kismis kerana kehabisan kismis)

Cara-cara memasak

1. Toskan beras yang telah direndam sehingga kering airnya.

2. Panaskan periuk ( saya gunakan periuk Noxxa Pressure Cooker - "On" Stir Fry) dan cairkan butter.

3. Masukkan kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih dan gaul rata.

4. Masukkan pula bawang besar dan gaul sehingga tumisan menjadi wangi.

5. Masukkan beras ( gaul perlahan supaya beras tidak hancur, lebih baik gunakan garfu kayu yang besar. gorengkan sebentar beras ini dengan teknik clockwise sehingga butter tadi sebati dengan beras. Teknik ini akan menjadikan nasi berderai dan tidak melekat-lekat ).

6. Masukkan air dan garam. Untuk beras 5 cawan, saya masak bersama 7 1/2 sukatan air.

7. Taburkan Safron ( optional ).

8. Kecilkan api dan tutup periuk.

* Jika masak menggunakan Noxxa Pressure Cooker :

  • "Off" STIR FRY dan tutup penutup periuk.
  • "On" PRESSURE COOK selama 02 minit dan tukarkan tombol atas kepada pressure.
9. Apabila nasi sudah masak, tutup api dan taburkan segala daun-daun, kismis dan bawang goreng. Hidangkan bersama lauk kegemaran anda.


Selamat mencuba!










No comments:

Post a Comment